FESTIVAL BELIA PUTRAJAYA 2013 BERMULA 23 HINGGA 26 MEI
Mod
Nadzri Yaacob (empat dari kanan) bersama kakitangan Sektretariat Hari Belia
2013 bergambar bersama iklan bunting Festival Belia Putrajaya 2013 di Putrajaya
semalam.
PUTRAJAYA 16 Okt. -
Festival Belia Putrajaya 2013 yang dijenamakan semula daripada Himpunan Jutaan
Belia bakal berlangsung selama empat hari tiga malam bermula dari 23 hingga 26
Mei tahun depan.
Ketua Sekretariat
Hari Belia Negara 2012, Mod Nadzri Yaacob berkata, festival yang menjadi
kemuncak sambutan Hari Belia Negara 2013 itu berkonsepkan pembangunan potensi
diri, melestari kreativiti dan inovatif, memartabat perpaduan serta jati diri.
Beliau berkata,
festival yang akan diisi dengan 30 segmen dan 500 acara itu memberi fokus
kepada aktiviti pendidikan, kerohanian, kemahiran, kesenian, bakat, interaksi
dan sukarelawan.
"Lokasi kesemua
acara ini akan diadakan di sepanjang lima kilometer di Persiaran Perdana dari
Presint 6, 18, dan 20.
"Festival ini
bertujuan memberikan peluang dan ruang kepada anak-anak muda untuk berekspresi
dan menguji kebolehan diri bersaing di pentas yang terbuka serta
mencabar," katanya.
Beliau berkata
demikian pada sidang akhbar Festival Hari Belia Putrajaya 2013 di sini hari
ini.
Himpunan di Putrajaya
anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu telah bermula sejak 2010 dengan
mencatat kehadiran lebih 200,000 pengunjung sebelum berjaya menarik kehadiran
lebih sejuta belia pada tahun lepas.
Bagaimanapun,
penganjuran pada tahun ini telah memecahkan rekod terdahulu apabila seramai 2.4
juta belia menghadiri karnival selama lima hari itu.
Mod Nadzri berkata,
festival itu bersandarkan kepada konsep ruang untuk golongan belia menunjukkan
bakat, pasaran belia itu sendiri, penampilan sesuatu yang baru dan semangat
patriotik kepada negara.
Festival Belia
Putrajaya 2013 menonjolkan sekurang-kurangnya empat acara yang akan mencapai
tahap ikonik.
"Antaranya ialah
pelancaran festival oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25
Mei pada pukul 5 petang, Perarakan Mega Belia, acara-acara antarabangsa
(melibatkan ASEAN+3), dan Feista Muzik Dunia," katanya.
Pada masa sama,
beliau berkata, pihaknya turut menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk
memastikan festival tersebut berjalan lancar.
"Ini melibatkan
soal penambahbaikan, pendekatan terbaharu dan soal keselamatan selama
penganjuran itu berlangsung," katanya.
Beliau menambah,
perubahan lokasi untuk beberapa aktiviti juga akan dilakukan pada tahun depan
bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.
Sementara itu, beliau
berkata, pelancaran Hari Belia Negara 2013 yang diadakan pada 15 Mei setiap
tahun diadakan secara serentak di peringkat kebangsaan dan negeri di seluruh
negara.
No comments:
Post a Comment