Wednesday, April 10, 2013

"Akademi Pembangunan Belia Malaysia Port Dickson, Negeri Sembilan"


Latar Belakang Agensi.



APBM terletak di Lot No. 4624, Mukim Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan iaitu kira-kira 28 km arah selatan Port Dickson. APBM ini meliputi keluasan hampir 20 ekar (8.094 hektar atau 80,332 meter persegi).

     Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) yang diasaskan pada tahun 1993 awalnya dikenali sebagai Kem Belia Waja kerana konsep asal kemudahan yang disediakan lebih berbentuk bangunan ala tentera dan kawasan persekitaran yang sesuai dengan keadaan sebuah kem. Dalam tahun 1995 kem ini telah bertukar nama kepada Institut Kepimpinan Belia Negara (IKBN) Port Dickson. Ini adalah untuk membuka peluang latihan kepimpinan kepada belia dalam bentuk kursus-kursus yang berorientasikan kefahaman mental, spiritual dan fizikal. Ia dibina diatas sebidang tanah seluas 25 ekar dikawasan tepi pantai hutan simpan Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan dengan kos sebanyak RM4,636,467.86.


      Ia kemudian ditukar nama kepada Institut Latihan Kepimpinan Belia (ILKEB) dan telah dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada 6 Jun 1997. Cadangan penubuhan Pusat Latihan ini telah dikemukakan oleh peserta Khemah Kerja Belia Islam Asia Pasifik kepada Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia ketika itu dan kemudiannya merestui penubuhannya.  Selepas itu usaha-usaha telah dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bagi memohon dan memperolehi kawasan dari Kerajaan Negeri Sembilan.

     Institut ini kemudiannya telah dinaik taraf kepada Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM). Pelancaran APBM telah dilaksanakan oleh YB. Dato’ Azalina Dato’ Haji Othman Said, Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada 23 Jun 2006 dengan skop dan peranannya lebih luas selaras dengan matlamat kerajaan ke arah melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Fungsi APBM begitu penting ke arah memantapkan bidang kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan di kalangan belia Malaysia. Ini dapat direalisasikan melalui berbagai program pembangunan belia terutama sekali program-program kepimpinan yang dilaksanakan oleh Akademi dari semasa ke semasa. Aspirasi ini secara langsung mendukung matlamat kerajaan ke arah pengukuhan sumber manusia, pembentukan pemimpin-pemimpin pelapis serta penglibatan generasi muda selaku penggerak masyarakat dan agen pemangkin Wawasan 2020. Kini APBM Port Dickson bergerak seiring dengan peredaran masa untuk menjana pemimpin belia pada masa hadapan.


Visi & Misi APBM

         Visi
1. Membangun serta memperkasakan pemimpin dan tenaga kerja belia supaya  mereka memiliki jati diri yang mapan, berkesan lagi efisien dalam organisasi dan kepimpinan.

2. Melahirkan pemimpin dan tenaga kerja belia yang berdaya saing, bersemangat    patriotik serta berkaliber dalam memacu kemajuan masyarakat dan merealisasikan visi negara.

         Misi
1.Melatih kalangan belia, pemimpin belia dan tenaga kerja belia dalam bidang kepimpinan dan pengurusan, perancangan, perhubungan awam serta motivasi.

2. Membuat anjakan paradigma, pemikiran juga perilaku para belia, pemimpin belia dan warga kerja belia supaya lebih dinamik, proaktif dan kreatif dalam menangani cabaran kepimpinan mahupun kehidupan seharian.

3. Menyumbang khidmat nasihat, sokongan dan rangsangan secara menyeluruh berkaitan penglibatan masyarakat di dalam berpersatuan.

4. Memberi pendedahan dan bimbingan susulan kepada golongan belia, peneraju belia juga pekerja belia yang berpotensi serta berwibawa demi merangsang komitmen, dedikasi dan kesungguhan mereka dalam kegiatan kemasyarakatan mahupun pembangunan generasi muda.


No comments:

Post a Comment